Cerpen Percuma
Mati Jiwa
Hidup mereka bosan kerana hanya mereka berdua sahaja penghuni di rumah mereka. Apabila Zarli ke kerja Shanis akan bersendirian di rumah. Dia akan memasak untuk suaminya dan mengemas rumahnya. Selepas itu dia hanya akan bersendirian menonton televisyen.
Selama bertahun - tahun dia berkeadaan begitu. Tiba - tiba suara Zarli lantang bertanya Shanis. "Bila kau mahu hamil." Kata Zarli. Shanis tidak bersuara sedikit pun. Dia hanya berdiam diri. Hatinya berasa sedih mengenangkan nasibnya yang tidak mempunyai anak pun. Shanis memang sudah lama mendoakan supaya dirinya hamil tetapi tidak juga tercapai.
Pada suatu hari Zarli bersuarakan lagi tentang anak pada Shanis. Shanis menuduh suaminya mandul dan dialah penyebab Shanis tidak memperolehi anak. Mereka berkelahi dan Zarli bersuarakan untuk bercerai dan mencari isteri lain. Shanis meminta maaf pada suaminya dan menangis. Dia merayu kepada suaminya supaya jangan menceraikannya.
Selepas beberapa hari kemudian Zarli tidak lagi ke kerja. Dia hanya duduk di rumah sahaja. Apabila Shanis bertanya mengenai kerjanya, barulah dia memberitahu isterinya bahawa dia diberhentikan kerja oleh majikannya. Shanis hanya berdiam diri sahaja. Dia malas untuk berkelahi dengan suaminya yang telah bertahun - tahun menyaranya.
Zarli sudah puas mencari kerja di negeri itu. Tetapi dia masih tidak diterima bekerja. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mencari kerja di negeri lain. Setelah banyak permohonan dibuat, akhirnya dia diterima bekerja di Kuala Lumpur. Pada mulanya Shanis membantah Zarli untuk bekerja di sana. Tetapi akhirnya dia terpaksa mengalah apabila dia memikirkan keadaan mereka yang bermasalah kerana kekurangan wang.
Waktu mula hendak berpisah dahulu, mata merah hari - hari. Tapi tidaklah hingga keluar air mata. Hati menjadi lemah, suara menjadi lemah, Zarli diam melihat tingkah Shanis yang sedemikian.
Suami hanya ingin merantau bekerja, hidupnya tentu banyak rintangan. Demi meneruskan kehidupan bukannya hingga putus ikatan. Lagipun bukannya kemahuan diri mereka untuk berpisah, cuma untuk bekerja. Untuk menjaga masa depan mereka. Tentu hidup menjadi lebih senang sedikit dalam hal kewangan mereka.
Waktu Zarli di Kuala Lumpur, Zarli rindu belaian isterinya, hingga hatinya terpaut pada orang lain. Dia sering didampingi kekasih barunya yang bernama Siti Maslina. Apabila hari cuti Zarli sering keluar ke pekan bersamanya. Mereka makan, berbual dan menonton wayang bersama.
Apabila Zarli pulang ke rumahnya bercuti. Dia merindui gadis yang di tempat dia merantau. Zarli pandai bersandiwara dan berpura - pura seronok bersama isterinya. Tetapi dia sudah tidak menyukai isterinya. Apa yang ada difikirannya cuma Maslina, yang lebih mengembirakannya. Rumah tangga mereka semakin roboh, mereka lebih suka berpura - pura. Mereka tidak ingin lagi mengingati tentang kenangan manis mereka suatu ketika dahulu. Apabila Zarli tidak mahu bersama Shanis, dia akan mengatakan bahawa dirinya letih. Apabila dia bersendirian dia hanya mengingati kekasih barunya sahaja. Ia lebih menggembirakan Zarli.
Waktu sudah kerapkali berkelahi, wajah pun berubah. Malu nak menatap suaminya, terpaksa juga berbohong. Hanya berpura - pura suka kerana telah lama berumahtangga bersama. Takut nanti retak pula rumah tangga mereka.
Sedar tak sedar sudah tiba masanya dia bekerja. Shanis sedih dalam hati, dia terpaksa suka suaminya pergi. Wang selalu dikirim suaminya. Apabila suaminya pergi barulah dia menangis mengenangkan nasib dirinya yang harus sebegitu.
Sebelum hari pemergian Zarli mereka sering - kali berkelahi. Sejak Zarli melangkah keluar dari rumahnya dia tidak pulang semula ke pangkuan Shanis. Shanis pun tidak tahu sampai bila hidupnya akan jadi begitu. Mungkin dia akan mencari suami yang baru untuk hidupnya. Waktu berjalan sungguh cepat. Kehidupannya hancur kerana selama ini suaminya yang bekerja dan menyara dia.
Akhirnya Zarli tidak menghantar wang. Dia terus menghilang dan tak kembali lagi. Berita mengenainya tidak didengari. Berkali - kali surat dikirimkan pada Zarli. Tapi tiada yang dibalas olehnya. Shanis hanya duduk di rumah dan lebih banyak mengelamun.
Sejak dia mengambil keputusan untuk berpisah bersama suaminya, segala keperitan ditanggungnya sendiri. Segala rintangan diharunginya sendiri. Segala bebanan ditanggungnya sendiri dan segala kepedihan ditanggungnya sendiri.
Shanis pun tidak tahu sampai bila dan apa yang harus ditempuhinya akan berakhir. Dia letih dengan apa yang harus dilaluinya. Dia harus berhati - hati menjalani kehidupannya. Agar dia tidak tersalah jalan dalam hidupnya .
Shanis sering mengeluh sendiri "Apakah aku dapat teruskan hidup ini tanpa menyesatkan aku" katanya. "Apakah tuhan akan mempertemukan jodoh yang baru untuk aku, agar aku boleh menumpang hidup dan berteduh dengannya, moga derita ini boleh dikongsi bersama." Katanya lagi.
"Apabila malam menjelma, waktu Shanis sepi, ingin bermanja dengan suaminya seperti dahulu, tapi kini dia kesepian tanpanya, hanya khayalan dan angan - angannya, bersamanya. Kadangkala menantinya tapi tak kunjung tiba. Tiada khabar berita tentang dirinya." Rungutan Shanis sendirian mengenai suaminya Zarli.
Segala wang yang ditinggalkan oleh suaminya hampir habis digunakannya untuk membayar sewa rumahnya. Shanis terpaksa balik ke kampung mencari orang tuanya.
Dahulu dia lari dari orang tuanya, dia merajuk pada orang tuanya. Dia meninggalkan orang tuanya. Dia teringat juga pada orang tuanya yang telah menjaga dan membesarkannya.
Dia pulang ke kampung untuk mencari kedua orang tuanya. Tetapi kedua orang tuanya dikatakan sudah meninggal dunia. Rumah mereka telah dijual kepada orang lain. Jadi Shanis sudah tidak ada tempat untuk berteduh. Dia sudah tidak bermaya untuk hidup lagi.
Sebelum Shanis meninggal dunia, dia ada juga ke perkuburan orang tuanya dan mendoakan kepada kedua orang tuanya .
"Ibu, semoga setiap susah payahmu dalam membesarkanku akan cambah sebagai pohon bunga untukmu di syurga nanti."
Selepas dia mendoakan untuk ibunya dia mendoakan untuk ayahnya pula.
"Ayah semoga setiap air mata yang jatuh di pipimu demi kepentinganku akan menjadi sungai untukmu di syurga nanti."
TAMAT